calendar
Monday, June 16, 2008
nisa
ADAKAH INI WANITA SOLEHAH?Masih terkenang lagi kisah yang diceritakan oleh sahabatku padaku tempohari. Kisah seorang wanita yang cekal hatinya…cukup menyentuh perasaan. Mana mungkin dapat mencari wanita seperti itu pada zaman ini yang tabah mengharungi segala rintangan dan ujian.Mungkin inikah yang dikatakan WANITA SOLEHAH?Nisa (bukan nama sebenar) merupakan seorang anak gadis yang mempunyai kecerdikan dalam pelajaran dan dia telah mendapat tawaran untuk belajar di Amerika Syarikat. Nisa adalah anak pertama di salah satu daerah di Pantai Timur yang berjaya melanjutkan pelajaran di sana. Sepanjang tempoh pelajarannya di sana, Nisa telah berkenalan dengan seorang jejaka yang juga dari Malaysia. Perkenalan mereka telah membuahkan rasa cinta dan mereka tekad untuk mendirikan rumahtangga di sana. Nisa dan lelaki pilihannya telah menghubungi keluarga di Malaysia untuk memohon restu agar mereka dapat dinikahi di sana. Setelah berkahwin Nisa tidak dapat meneruskan pelajarannya apatah lagi Nisa yang telah berbadan dua. Setelah suaminya tamat pengajiaan di sana. Mereka pulang ke Malaysia bersama dengan seorang cahaya mata. Suami Nisa telah berjumpa dengan keluarga Nisa untuk menjelaskan kedudukan isterinya yang tidak berjaya melanjutkan pelajarannya. Suaminya juga berjanji kepada keluarga Nisa akan bertanggungjawab di atas segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan semasa Nisa ingin belajar ke luar negara termasuk segala hutang-hutang pinjaman pengajian dilunaskan oleh suaminya. Keluarga kedua belah pihak tetap mengadakan majlis perkahwinan buat mereka namun dalam keadaan sederhana.Suami Nisa telah mendapat perkerjaan sebagai pengurus di selatan tanahair. Memandangkan keluarga suami Nisa menetap di selatan tanahair juga apatah lagi ibu suaminya seorang ibu tunggal dan adik-adik yang masih bersekolah. Maka suami Nisa telah membuat keputusan untuk tinggal bersama ibu dan adik-adiknya. Bermula saat itu tinggalah Nisa bersama keluarga suaminya tetapi kehidupan bersama keluarga mertuanya tidaklah indah dan bahagia. Ini kerana ahli keluarga suaminya tidak menyukai Nisa apatah lagi ibu mertuanya turut sama tidak menyukainya. Adik-beradik suami Nisa yang kebanyakannya perempuan tidak seperti abangnya (suami Nisa) yang kuat dalam pegangan agama. Adik-adik perempuannya hidup bebas dan sosial kehidupannya jika dibandingkan dengan Nisa. Nisa merupakan seorang wanita yang sepanjang beliau mula berkahwin tidak pernah sesekali dia membuka purda di wajahnya meskipun berada di dalam rumah.Ini membuatkan lagi ahli keluarga suaminya tidak menyukai beliau. Apatah lagi sikap Nisa yang sentiasa berdiam diri dan hanya menurut segala kehendak keluarga suaminya tanpa melawan menyebabkan beliau sering diuji. Kehidupan Nisa di rumah keluarga suaminya tidak ubah seperti hidup sebagai orang gaji. Nisa dipaksa untuk menyediakan serta mengemas segala keperluan dalam rumah tersebut termasuk memasak, membasuh pakaian, mengemas dan sebagainya. Dalam keadaan sakit pun Nisa tetap diarah untuk melakukan kerja-kerja rumah. Apa yang paling menyedihkan beliau juga tidak boleh makan sekali dengan ahli keluarga suaminya dan Nisa harus mengemas terlebih dahulu kesemua baki-baki makanan sebelum beliau makan. Nisa tidak pernah mengadu pada suaminya atas segala perbuatan ibu mertua dan ipar duai terhadapnya. Mungkin kerana itulah beliau tinggal bersama ahli keluarga suaminya lebih dari sepuluh tahun lamanya. Nisa juga tidak seperti wanita lain yang boleh berkerja atau boleh keluar rumah walaupun diberi keizinan oleh suami seperti kita. Ini kerana suami Nisa tidak suka isterinya diperlihat orang..kebanyakkan hidup Nisa dihabiskan di dalam rumah. Beliau hanya keluar dari rumah bila suami membawanya. Apa yang suaminya beri itulah yang dia akan guna termasuklah pakaiannya. Pakaiannya Nisa yang dipakai juga hanya jubah yang berwarna hitam atau coklat gelap.Suatu hari suami Nisa berhasrat untuk berpindah ke rumah baru yang baru dibelinya. Ini kerana mungkin adik-adiknya telah habis bersekolah dan telah pun berkerja. Maka bermulalah lagi kehidupan baru Nisa yang tidak lagi hidup bersama dengan ahli keluarga suaminya. Namun ujian dari Allah tidak pernah sunyi dalam hidupnya. Kali ini Nisa diuji dengan penyakit yang tidak tahu puncanya. Nisa selalu pengsan..selalu terkena penyakit setiap kali mengandung, menghadapi masalah penyakit kulit dan pernah jua perutnya membengkak tanpa sebab. Suami Nisa seorang yang terlalu-lalu kuat dalam soal agama, susah nak dikatakan samada betul atau tidak caranya kerana suami Nisa tidak suka doktor lelaki merawat isterinya. Ini menyebabkan rawatan Nisa sering terganggu apatah lagi kebanyakkan doktor yang pakar dalam bidang sakit puan terdiri daripada lelaki. Pernah juga ahli keluarga Nisa mencadangkan untuk membuat rawatan tradisional namun kerana suaminya begitu hasrat tersebut terpaksa di pendamkan. Penyakit Nisa ternyata memerlukan perhatian yang lebih dalam rawatan sepanjang masa, lalu suami beliau telah membawa Nisa ke ibu negara untuk mendapatkan rawatan di hospital Islam di sana. Entah mengapa setelah hampir sebulan di sana, suami Nisa telah membawa keluar dari hospital tersebut untuk dibawa pulang ke rumahnya di selatan tanahair. Ini memandangkan kesihatan Nisa yang tidak dapat dipulihkan. Tinggallah Nisa di rumah sepanjang hayatnya di katil kerana Nisa tidak mampu lagi bergerak seperti biasa dan pernah satu hari beliau koma kerana terjatuh dari katil untuk ke tandas. Anak-anak Nisa yang masih bersekolah menengah menjadi pembantu untuk menguruskan beliau semasa suaminya berkerja atau tiada dirumah.Suami Nisa seolah-olah seperti tidak mahu berusaha untuk merawat penyakit Nisa hingga satu hari ibu kandung Nisa menziarahi beliau dan melihat anaknya yang terlantar sakit sepanjang hari di atas katil. Ibu mana yang tidak sedih melihat anak yang dilahirkannya jadi begitu. Melihat keadaan bilik yang suram dan gelap apatah lagi langsir bilik Nisa sememangnya tidak pernah dibuka...menambahkan lagi kesayuaan ibunya. Ibu Nisa membuka langsir bagi membolehkan matahari masuk ke kamar tidurnya. Tetapi apabila suaminya pulang...langsir tersebut akan ditutup kembali. Nisa pernah berkata dengan ibunya...’Nisa kalau boleh ingin menjadi seperti ibu..boleh pergi mengaji di pondok (madrasah)‘ ibu Nisa sedih mendengar luahan anaknya itu dan berkata ‘ ini pun sudah baik untuk kamu’.Akhirnya...kesakitan yang dihadapi oleh Nisa terubat jua...tetapi penawarnya itu tidak lagi dapat menyambung kisah hidupnya di dunia ini...kerana ubat penawar itu adalah noktah segala penyudah hidupnya di dunia ini. Sakit derita yang dihadapi olehnya berakhir dengan kematiaan dalam usianya 40an. Alangkah terkejutnya seluruh sanak saudara dan sahabat handai Nisa serta sahabat suaminya bila mendapat tahu bahawa Nisa telah lama sakit menderita. Rupa-rupanya suami Nisa tidak pernah menceritakan kepada orang lain yang Nisa sakit terlantar di rumah.Saat jenazahnya dimandikan ibu Nisa menyatakan bahawa rambut anaknya lurus dan berkilau-kilauan dan bagi mereka-mereka yang tidak pernah melihat wajah Nisa akhirnya dapat melihat wajah penuhnya dalam dirinya tidak lagi bernyawa. Serta sahabat saya (lelaki) saudara kepada Nisa sampai saat di semadikan jasadnya tidak pernah melihat wajah penuhnya....Wahai sahabat sekelian,alangkah indahnya perjuangan hidupnya...seorang wanita yang tabah mengharungi badai atas ujian ilahi. Bagi saya tidak semudah itu wanita-wanita diantara kita sanggup menghadapinya dengan tabah dan sabar.Saya tidak mungkin melupai kisah hidup wanita ini...bukan kerana perbuatan suaminya tetapi ketabahan wanita ini terlalu-lalu sabar! Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh wanita ini...Beliau telah KEMBALI pada 26 April 2008.Al-Fatihah buatnya…Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment